Salman Al-Farisi
tergolong sebagai salah seorang sahabat Rasulullah saw. Beliau berasal
dari negeri Parsi. Pernah di masa hidupnya, Salman telah diberi jawatan
sebagai Gabenor di salah sebuah jajahan takluk Islam. Namun demikian
kedudukannya itu tidak sedikit pun mengubah keperibadiannya yang
penyantun, rendah diri, serta zuhud terhadap kemewahan dunia. Pada
suatu hari, diriwayatkan seorang rakyat awam tanpa mengenali Salman
terus menariknya secara kasar lalu menyuruhnya melakukan suatu kerja
yang berat. Orang itu menjumpai Salman ketika berada di tepi jalan. Ia
mempunyai sebuah karung besar lalu menyuruh Salman memikulnya sampai ke
rumah.
Tanpa
banyak soal Salman terus memikulnya. Di pertengahan jalan, seorang
lelaki telah memberi salam kepadanya. Alangkah terkejutnya melihat
Salman memikul karung. Lalu berkata: "Wahai tuan! Tahukah tuan bahawa orang yang memikul karung tuan itu adalah Salman Al-Farisi, Amir negeri kita ini."
Terkejut lelaki itu mendengarnya, apabila dikenangkan orang yang
dikasarinya itu adalah gabenornya sendiri. Lantas dia meminta maaf lalu
menyuruh Salman menurunkan karung yang sedang dipikulnya itu. Tetapi
Salman menjawab: "Oh tidak mengapa tuan. Biarlah saya memikul barang tuan ini hingga sampai ke rumah tuan".
Demikianlah ketinggian budi pekerti Salman Al-Farisi, salah seorang
sahabat Rasulullh saw. yang tidak mementingkan darjat kedudukan.