KHALID AL-WALID ra.
Pedang Allah
Perang
Uhud dan Perang Muktah adalah dua keadaan yang berbeza sebagaimana
berbezanya peribadi Khalid bin Al-Walid. Dalam perang Uhud, beliau
adalah panglima Quraisy yang berjaya mengalahkan mujahid-mujahid Islam
tetapi perang Muktah menampakkan penampilan Khalid Al-Walid yang
baru….Beliau adalah hero penyelamat di saat ambang kekalahan tentera
Islam, ini membuktikan bahawa beliau memang layak dikurniakan anugerah
tertinggi panglima tentera iaitu anugerah 'Pedang Allah'
Semasa
belum memeluk Islam, beliau adalah musuh Islam yang paling digeruni di
medan perang kerana strategi perangnya yang hebat di mana umat Islam
telah mendapat pengajaran yang cukup hebat ketika perang Uhud dahulu.
Khalid
al-Walid telah memeluk Islam pada bulan Safar tahun 8H bersama-sama
Uthman b Talhah dan Amru b Al-As. Setelah itu, beliau adalah pahlawan
yang berjuang menentang orang-orang yang menentang Rasulullah SAW.
Berbicara
tentang Khalid, tentunya tidak lengkap kalau tidak menceritakan tentang
peristiwa dalam peperangan Muktah yang memang terkenal itu.
Dalam Perang Muktah,
tentera Islam yang sedikit bilangannya telah berdepan dengan lebih
kurang 200,000 orang tentera Rom. Dalam pertempuran tersebut, tentera
Islam telah mendapat tentangan yang cukup dahsyat nyaris-nyaris menerima
kekalahan. Bendera Islam telah dipegang oleh Zaid b Harithah yang
kemudiannya gugur syahid, diambilalih pula oleh Jaafar bin Abu Thalib.
Beliau turut syahid, maka bendera tadi dipegang oleh Abdullah bin
Rawahah yang juga gugur sebagai syuhada'. Lantas bendera bertukartangan
kepada Thabit bin Arqam dan menyerahkannya kepada Khalid al-Walid. Atas
persetujuan ramai, maka Khalid al-Walidpun menjadi komandan perang dan
terus mengarahkan tentera Islam berundur ke Madinah kerana sudah terlalu
ramai yang syahid dan tentera yang tinggal tidak mampu untuk bertahan
lagi.
Di zaman
Khalifah Abu Bakar, Khalid ditugaskan untuk mengahpuskan golongan
murtad. Saidina Abu Bakar telah memberi pidato semangat kepada tentera
Islam yang antara lainnya berbunyi :"Aku pernah mendengar Rasulullah SAW
bersabda : "Sebaik-baik hamba Allah dan saudara dalam satu suku iaitu
Khalid b Al-Walid, Saifullah, yang pedangnya akan dihayunkan kepada
orang-orang kafir dan munafik"
Beliau
juga ditugaskan untuk membunuh Musailamah Al-Kazzab yang mengaku
sebagai nabi dan mempunyai ramai pengikutnya. Dalam peperangan tersebut
(Perang Yamamah), ramai tentera Islam yang terkorban. Khalid All-Walid
sebagai pahlawan sejati yang pakar dalam strategi peperangan telah
berjaya memberi semangat baru kepada tenteranya dengan ucapannya yang
penuh karisma. Beliau berteriak kepada tenteranya : "Bergembiralah
kerana kami akan melihat setiap orang akan mengalami bencana
masing-masing"
Dalam
Perang Yarmuk menentang tentera Rom, beliau telah berjumpa dengan
panglima musuh yang bernama Mahan yang dengan angkuhnya
merendah-rendahkan moral tentera Islam. Mahan telah berkata : "Aku tahu
kamu semua meninggalkan tanah air kerana terpaksa dan kelaparan. Jika
kamu semua setuju, aku akan berikan setiap seorang
tentera 10 dinar beserta dengan pakaian dan makanan dengan syarat mereka
berangkat pulang dan tahun depan jumlah yang serupa akan dihantar ke
Madinah".
Khalid b
Al-Walid dengan tegasnya menjawab : "Kami tidak akan keluar dari negeri
kami kerana kelaparan seperti yang engkau sangkakan. Tetapi kami ialah
satu kaum yang suka minum darah dan kami tahu tidak ada darah yang lebih
lazat dan nikmat seperti darah orang Romawi, sebab itulah kami ke mari"
Setelah
itu, Khalid Al-Walid selaku komandan perang beerteriak dengan kuatnya
sambil bertakbir "Allahu Akbar" "Marilah kita berebut-rebut mencium bau
Syurga". Maka terjadilah peperangan yang amat dahsyat. Anak panah
bersimpang siur dan mayat bergelimpangan.
Tiba-tiba
seorang tentera Islam menghampiri Abu Ubaidah b al-Jarrah r.a.sambil
berkata : "Sesungguhnya aku bercita-cita untuk mati syahid, adakah
engkau mempunyai sebarang pesanan yang hendak disampaikan kepada
Rasulullah SAW, kelak aku akan sampaikan kepada baginda ketika aku
berjumpanya (di Syurga)"
Jawab
Abu Ubaidah b al-Jarrah r.a : "Ya ! Katakan kepadanya : "Wahai
Rasulullah SAW ! Sesungguhnya kami telah dapati bahawa apa yang
dijanjikan oleh Tuhan Kami (Allah) adalah benar". Lalu tentera tadi
bertempur dengan hebatnya dan gugur sebagai syuhada'.
Dalam
suasana perang tersebut Khalid al-Walid bersemuka dengan seorang
daripada panglima Romawi yang bernama George lalu terjadilah dialog
antara keduanya.
George bertanya : "Wahai Khalid,
hendaklah kamu berkata benar kerana setiap orang yang merdeka tidak
akan berbohong. Apakah benar bahawa Tuhanmu telah menurunkan kepada
Nabimu sebilah pedang dari langit lalu diberikan kepadamu dan kalau
dihayunkan kepada seseorang pasti dia akan kalah"
Khalid b Al-Walid menjawab : "Tidak"
George bertanya lagi : "Mengapa kamu disebut Pedang Allah ?"
Khalid
b Al-Walid berkata : "Bahawa Allah SWT telah mengutuskan kepada kami
seorang Rasul dari bangsa kami, tetapi ada yang mempercayainya dan ada
yang mendustanya. Aku sendiri termasuk dari kalangan orang yang
mendustakannya tetapi Allah telah membuka hatiku kepada Islam. Lalu aku
mengadap Rasulullah untuk memeluk Islam dan janji setia kepadanya.
Rasulullah terus menyatakan : "Engkau adalah sebilah pedang dari pedang
Allah"
George bertanya lagi : "Apa yang kamu dakwahkan kepada manusia"
Khalid b Al-Walid menjelaskan : "Supaya mereka mentauhidkan Allah dan menerima ajaran Islam"
George
seterusnya berkata : "Jika seseorang memeluk Islam sekarang seperti apa
yang telah berlaku kepadamu, adakah dia akan mendapat ganjaran ?"
Khalid b Al-Walid menjawab : "Ya, itulah yang lebih utama"
George berkata : "Bagaimana yang terjadi kepadamu sebelum Islam ?"
Khalid
b Al-Walid menjawab : "Kami hidup bersama Rasul lalu kami lihat
tanda-tanda kenabian serta mukjizatnya. Kami benar-benar melihat dan
mendengarnya, lalu kami memeluk Islam dengan mudah. Tetapi kamu tidak
pernah melihat dan mendengarnya, kiranya kamu beriman dengan apa yang
tidak kelihatan, maka ganjaranmu adalah lebih besar jika kamu beriman
kepada Allah dengan jiwamu"
Akhirnya
George telah mengucap syahadah di hadapan Khalid, belajar cara solat
dan sempat solat dua rakaat. Kemudian beliau adalah seorang syuhada'
perang Yarmuk............. !!! dan tentera Islam berjaya menumbangkan
tentera Rom yang berjumlah 240,00 orang.
Ramai
di kalangan tentera Islam yang syahid dan tidak kurang pula yang sakit,
luka dan cedera. Mereka yang cedera parah, apabila seorang diberikan
air, lantas dia berkata rakannya di sebelah lebih memerlukan. Lalu
diberikan kepada rakannya, tiba-tiba orang yang kedua pun bersikap
serupa, lebih mementingkan rakan yang lain..........begitulah seterusnya
sehinggakan orang memberi air berpusing-pusing di antara mereka tetapi
belum ada yang sudi meminumnya. Maka, kesemua mereka mati syahid di
medang perang tersebut ! Ini membuktikan betapa wujudnya
perasaan kasih kepada saudara seperti kasih kepada diri sendiri memang
menjadi amalan mereka sebagaimana yang ditarbiahkan oleh Rasulullah SAW