Ibu Teladan Asma' Binti Abu Bakar As Siddiq, Dzatun Nithaqain
“Ya
Allah! Kasihanilah dia kerana solat yang panjang diselangi tangisan di
tengah kedinginan malam yang sepi, ketika orang-orang lain sedang
nyenyak dibuai mimpi. Ya Allah! Kasihanilah dia yang sering menahan
lapar dan dahaga ketika bertugas jauh dari Madinah atau Mekah dalam
menunaikan ibadah puasa kepadaMu. Ya Allah! Aku menyerahkannya di bawah
pemeliharaanMu, aku redha dengan apa yang telah Engkau tetapkan bagiku
dan baginya, dan berilah kami pahala orang-orang yang sabar...!" [Doa
Asma' radhiallahu anha buat puteranya, Abdullah bin Zubair]
Asma'
binti Abu Bakar As-siddiq, saudara kepada Aisyah Ummul Mukminin (isteri
Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam), puteri kepada sahabat
Rasulullah yang mulia, Saidina Abu Bakar As-siddiq, isteri Zubair bin
Awwam, pejuang dan tokoh Islam yang mengutamakan redha Allah di dalam
perjuangannya, Merupakan seorang wanita muhajir yang mulia dan bonda
kepada Abdullah bin Zubair, salah seorang pejuang yang gugur
mempertahankan agamanya, dan sesungguhnya kedudukannya ini cukup untuk
mengangkat darjat beliau ke tempat yang tinggi, mulia dan terpuji.
Peribadinya dirahmati Allah dengan keistimewaan yang sangat menonjol,
setanding dengan para Muslimin di ketika itu, cerdas, cerdik, lincah,
pemurah dan berani.
Kedermawanan
beliau dapat dilihat jelas melalui ucapan anaknya," Aku belum pernah
melihat wanita yang sangat pemurah melebihi ibuku termasuk Aisyah
Radhiallahu anha. Beliau (Aisyah) mengumpulkan apa yang diperolehinya
sedikit demi sedikit, lantas setelah itu barulah dinafkahkannya kepada
mereka yang memerlukannya. Sedangkan ibuku, dia tidak pernah menyimpan
sedikit pun sehingga hari esok"
Kebijaksanaan Dzatun Nithaqain
Kecemerlangan
berfikir Asma Radhiallahu anha terpancar dari sikapnya yang penuh
prihatin dan perhitungan yang bijaksana. Peristiwa Hijrah Abu Bakar
menyaksikan pengorbanan seorang sahabat demi Islam, tidak meninggalkan
sesen pun harta untuk keluarganya melainkan dibelanjakan keseluruhannya
untuk Allah dan rasulNya. Ketika Abu Quhafah (ayah kepada
Abu Bakar radhiallahu anhu) yang masih musyrik menemui keluarganya,
beliau berkata kepada Asma',
"Demi Allah! Tentu ayahmu telah mengecewakanmu dengan hartanya, di samping akan menyusahkanmu dengan pemergiannya!". Jawab
wanita yang mulia ini, "Tidak wahai datuk! sekali-kali tidak! Beliau
banyak meninggalkan wang buat kami" ujarnya sambil menghibur dan
menenangkan datuknya. Dikumpulkannya batu-batu kerikil yang kemudiannya
dimasukkan ke dalam lubang tempat kebiasaannya menyimpan wang. Kemudian
dibawakan datuknya yang buta itu ke tempat simpanan tersebut, lantas
berkata, "Lihatlah datukku! Beliau banyak meninggalkan wang buat kami!".
Perkataan tersebut ternyata berjaya meyakinkan Abu Quhafah. Maksud
perbuatan tersebut adalah untuk menyenangkan hati datuknya, agar tidak
bersusah hati memikirkan hal tersebut. Malah, Asma' juga
tidak menginginkan bantuan dari orang musyrik meskipun datuknya sendiri.
Inilah bukti yang menunjukkan besarnya perhatian beliau terhadap dakwah
dan kepentingan kaum Muslimin.
Diberi
julukan sebagai 'dzatun nithaqain' oleh Rasulullah yang membawa erti
"wanita yang mempunyai dua tali pinggang", sebagai peringatan terhadap
peristiwa Hijrah yang menyaksikan pengorbanan dan keberanian Asma' yang
tiada tolok bandingannya. Beliau bersusah payah menyediakan bekalan
makanan dan minuman buat Rasulullah dan Abu Bakar Radhiallahu anhu di
saat genting seperti itu. Beliau mengoyakkan ikat pinggangnya kepada dua
untuk dijadikan tali pengikat untuk mengikat bekalan makanan dan
minuman tersebut, sehingga kerana peristiwa itu Rasulullah mendoakan
beliau agar digantikan tali pinggang tersebut dengan yang lebih baik dan
lebih indah di syurga kelak.
Tidak
hanya itu pengorbanan Asma Radhiallahu anha. Peristiwa hijrah ini turut
menyaksikan kekuatan berfikir dan perancangan strategi yang dimiliki
oleh seorang Muslimah hasil dari aktiviti politik dan kecemerlangan
berfikir yang diadun dengan ketaqwaan dan keimanan yang teguh. Asma'
Radhiallahu anha bukan sekadar menjadi penghantar makanan kepada dua
orang sahabat yang berperanan penting bagi umat Islam, malah beliau juga
menyampaikan berita-berita penting tentang rencana-rencana pihak musuh
terhadap kaum Muslimin. Dengan kehamilannya ketika itu, Asma' mengambil peranan
yang menjanjikan risiko tinggi, di mana bukan saja nyawanya menjadi
taruhan, malah lebih dari itu, nyawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa
Sallam dan ayahnya turut sama terancam. Memikirkan kemarahan musuh Islam
lantaran lolosnya Rasulullah dari kepungan, kafir Quraisy pastinya akan
berusaha bersungguh-sungguh mencari-cari Rasulullah Sallallahu Alaihi
wa Sallam untuk dibunuh kerana bencinya mereka terhadap dakwah Islam dan
pejuang-pejuangnya.
Di
saat-saat genting seperti itu, Asma' mampu meramal segala kemungkinan
yang bakal berlaku, dan dengan kecerdikan dan penuh perhitungan, beliau
berjalan menuju Gua Tsur sambil menggembala kambing-kambingnya berjalan
di belakangnya. Taktik ini dilakukan untuk mengaburi mata pihak musuh
kerana jejaknya terhapus oleh jejak-jejak kambing gembalaannya itu.
Tindakan ini belum tentu mampu dilakukan oleh seorang lelaki yang berani
sekalipun, lantaran hal tersebut bakal mengundang bahaya, kezaliman,
dan kekejaman orang-orang kafir Quraisy.
Permasalahan
ini tidak cukup sampai di situ. Setelah kejayaan Rasulullah dan Abu
Bakar keluar dari tempat persembunyian dan berhasil berhijrah ke
Madinah, Asma' Radhiallahu anha dan keluarganya didatangi beberapa orang
Quraisy, di antaranya Abu Jahal yang telah bertindak kasar menampar
pipi Asma’ Radhiallahu anha dengan sekali tamparan yang mengakibatkan
subangnya terlepas!. Asma' menjawab dengan penuh diplomasi saat beliau
ditanya tempat persembunyian Rasulullah dan ayahnya dengan berkata,"
Demi Allah, aku tidak tahu di mana ayahku berada sekarang!"
Hijrah
Asma' Radhiallahu anha dan suaminya ke Madinah berlaku selang beberapa
lama dari hijrah sebelumnya, di mana pada ketika itu Asma' sedang sarat
mengandungkan Abdullah bin Zubair dan hanya menanti detik-detik
kelahirannya. Perjalanan yang jauh dan berbahaya ditempuhi jua
sehinggalah angkatan para sahabat tiba di Quba'. Kelahiran anak pasangan
sahabat ini disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Dialah
bayi pertama yang dilahirkan di Madinah.
Sebaik-baik Ummu wa Rabbatul Bait
Seorang
muhajirah yang agung, antara wanita yang awal memeluk Islam, sangat
memuliakan suaminya meskipun Zubair hanya seorang pemuda miskin yang
tidak mampu menyediakan pembantu buatnya. Hatta tidak mempunyai harta
yang dapat melapangkan kehidupan keluarganya, melainkan hanya seekor
kuda yang dijaganya dengan baik. Beliaulah isteri yang sentiasa sabar
dan setia berkhidmat untuk suaminya, sanggup bekerja keras merawat dan
menumbuk sendiri biji kurma untuk makanan kuda suaminya di saat Zubair
sibuk menjalankan tugas-tugas yang diperintah Rasulullah kepadanya.
Di
dalam didikannya, keperibadian Abdullah bin Zubair dibentuk. Beliau
adalah susuk seorang ibu yang sangat memahami peranannya dalam
melahirkan generasi utama yang berkualiti, generasi yang menjadikan
kecintaan kepada Allah dan RasulNya di atas segala-galanya, sama ada
harta, isteri, keluarga mahupun segala jenis perbendaharaan dunia.
Beliau mencetak keperibadian generasi yang siap berjuang membela bendera
Islam dan kalimah La ilaha illallah Muhammad Rasulullah. Keperibadian
seperti ini terpancar jelas di dalam diri puteranya, Abdullah bin
Zubair. Hal ini dapat kita teladani melalui kisah pertemuan terakhir di
antara seorang ibu dan anak yang saling menyayangi dan mencintai satu
sama lain, semata-mata kerana kecintaan keduanya kepada Allah Subhanahu
wa Taala dan RasulNya.
Abdullah: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, wahai ibunda!
Asma':
Wa'alaikum salam warahmatullahi wabarakatuh, ya Abdullah! Mengapa
engkau datang ke sini di saat-saat seperti ini? Padahal batu-batu besar
yang dilontarkan Hajjaj kepada tenteramu menggetarkan seluruh Kota
Mekah?
Abdullah: Aku hendak bermusyawarah dengan ibu
Asma': Tentang masalah apa?
Abdullah:
Tenteraku banyak meninggalkanku. Mereka membelot dariku ke pihak musuh.
Mungkin kerana mereka takut terhadap Hajjaj atau mungkin juga kerana
mereka menginginkan sesuatu yang dijanjikannya sehingga anak-anak dan
isteriku sendiri berpaling daripadaku. Sedikit sekali jumlah tentera
yang tinggal bersamaku. Sementara utusan Bani Umayyah menawarkan
kepadaku apa saja yang ku minta berupa kemewahan dunia asal saja aku
bersedia meletakkan senjata dan bersumpah setia mengangkat Abdul Malik
bin Marwan sebagai khalifah. Bagaimana pendapatmu wahai ibu?
Asma':
Terserah kepadamu Abdullah! Bukankah engkau sendiri yang mengetahui
tentang dirimu? Jika engkau yakin bahawa engkau mempertahankan yang haq
dan mengajak kepada kebenaran, maka teguhkanlah pendirianmu sepertimana
para perajuritmu yang telah gugur dalam mengibarkan bendera agama ini!
Akan tetapi, jika engkau menginginkan kemewahan dunia, sudah tentu
engkau adalah seorang anak lelakiku yang pengecut! dan bererti engkau
sedang mencelakakan dirimu sendiri dan menjual murah harga
kepahlawananmu selama ini, anakku!
Abdullah: Akan tetapi, aku akan terbunuh hari ini ibu.
Asma' : Itu lebih baik bagimu daripada kepalamu akan dipijak-pijak juga oleh budak-budak Bani Umayyah dengan mempermainkan janji-janji mereka yang sangat sukar untuk dipercayai!
Abdullah: Aku tidak takut mati, Ibu. Tetapi aku khuatir mereka akan mencincang dan merobek-robek jenazahku dengan kejam!
Asma':
Tidak ada yang perlu ditakuti perbuatan orang hidup terhadap kita
sesudah kita mati. Kambing yang sudah disembelih tidak akan merasa sakit
lagi ketika kulitnya dikupas orang!
Abdullah:
Semoga Ibu diberkati Allah. Maksud kedatanganku hanya untuk mendengar
apa yang telah ku dengar dari ibu sebentar tadi. Allah Maha Mengetahui,
aku bukanlah orang yang lemah dan terlalu hina. Dia Maha Mengetahui
bahawa aku tidak akan terpengaruh oleh dunia dan segala kemewahannya.
Murka Allah bagi sesiapa yang meremehkan segala yang diharamkanNya.
Inilah aku, anak Ibu! Aku selalu patuh menjalani segala nasihat Ibu.
Apabila tewas, janganlah ibu menangisiku. Segala urusan dari kehidupan
Ibu, serahkanlah kepada Allah!
Asma': Yang ibu khuatirkan andainya engkau tewas di jalan yang sesat.
Abdullah:
Percayalah Ibu! Anakmu ini tidak pernah memiliki fikiran sesat untuk
berbuat keji. Anakmu ini tidak akan menyelamatkan dirinya sendiri dan
tidak memperdulikan orang-orang Muslim yang berbuat kebaikan. Anakmu ini
mengutamakan keredhaan ibunya. Aku mengatakan semua ini di hadapan ibu
dari hatiku yang putih bersih. Semoga Allah menanamkan kesabaran di
dalam sanubari Ibu.
Asma':
Alhamdulillah! segala puji bagi Allah yang telah meneguhkan hatimu
dengan apa yang disukaiNya dan yang Ibu sukai pula. Rapatlah kepada Ibu
wahai anakku, Ibu ingin mencium baumu dan menyentuhmu. Agaknya inilah
saat terakhir untuk ibu memelukmu..."
Abdullah:Jangan bosan mendoakan aku Ibu!
Sebelum
matahari terbenam di petang itu, Abdullah bin Zubair syahid menemui
Rabbnya. Dia kembali kerana mengutamakan redha Allah dan redha ibunya
yang beriman. Diriwayatkan, bahawa Al-Hajjaj berkata kepada Asma'
setelah Abdullah terbunuh :"Bagaimanakah engkau lihat perbuatanku
terhadap puteramu ?" Asma' menjawab :"Engkau telah merosak dunianya,
namun dia telah merosak akhiratmu." Asma' wafat di Mekkah dalam usia 100
tahun, sedang giginya tetap utuh, tidak ada yang tanggal dan akalnya
masih sempurna. [Mashaadirut Tarjamah : Thabaqaat Ibnu Saad, Taarikh
Thabari, Al-Ishaabah dan Siirah Ibnu Hisyam]. Semoga Allah meredhai kedua hambaNya, Asma' dan puteranya.
Khatimah
Inilah
sebuah teladan yang sangat berharga buat kita semua. Asma' Radiallahu
anha bukan sahaja menunjukkan keberaniannya, kepatuhannya kepada Allah,
suami dan ayahnya, juga pengorbanannya yang besar, sikap dermawannya dan
kecemerlangan berfikir yang menjadi cermin keperibadiannya. Bersama
suaminya, Zubair bin Awwam, terbentuklah keluarga sakinah, mawaddah wa
rahmah, bukan kerana harta yang melimpah ruah, tetapi limpahan
barakah dan rahmat dari Allah Subhanahu wa Taala kerana ahli
keluarganya yang menjadikan kecintaan mereka hanya kepada Allah dan
Rasul di atas kecintaan-kecintaan lainnya. Dari keluarga ini, lahirlah
seorang syuhada yang gagah berani, tidak takut terhadap apapun kecuali
Allah Subhanahu wa Taala Semoga kisah Asma’ Abu Bakar ini
akan sentiasa mekar di jiwa kita sebagai motivasi diri dalam menyemai
kecintaan serta menjalankan kewajipan terhadap Rabbul Izzati